Rabu, 06 Mei 2009

Kisah Labu dan Labi

Di sebuah kampung yang terpencil, tinggal dua orang sahabat yang sangat akrab bernama Labu dan Labi. Kehidupan mereka berdua boleh dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Maklumlah, bekerja sebagai pengutip besi tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan lebih-lebih lagi dengan besi yang semakin kurang. Hendak bekerja di syarikat-syarikat swasta pula, kelulusan mereka setakat darjah 6 sahaja. Itu pun cuma dapat ‘D’ dalam bahasa Melayu sahaja. Lagi pun sekarang ni zaman gawat, banyak syarikat yang sedang berkira-kira hendak buang pekerja.

Labu dan Labi sepasang sahabat yang bercita-cita besar. Harapan mereka agar pada suatu hari nanti mereka akan ada bengkel membaiki kenderaan sendiri kerana selain pandai mengumpul besi buruk, Labu dan Labi juga mengambil upah bekerja secara ‘part time’ di bengkel kereta Ah Kar Rut. Pemilik bengkel kereta di kampungnya. Jadi, setiap hari mereka bekerja keras mengumpul besi buruk.

Wang simpanan mereka setakat ini cuma ada RM515.45 sahaja. Cukup untuk membeli sebuah televisyen LG ‘flat screen’ 32 inci ’second hand’. Mereka berdua berbincang bagaimana hendak menambah pendapatan sampingan.

Di keheningan malam ketika dalam perjalanan pulang dari bengkel, Labu ternampak satu risalah yang cantik dan menarik perhatiannya. Risalah tersebut diambil dan ditunjukkan kepada Labi. Keterangan dalam risalah tersebut berbunyi begini :

“PELUANG HEBAT..PROGRAM MENJANA WANG TANPA PERLU BEKERJA KERAS!! MANTAP DAN HEBAT!! ANDA MAMPU MENJADI JUTAWAN DALAM MASA 24 JAM!!”

“DAFTAR SEGERA DAN JADILAH YANG TERAWAL UNTUK MENIKMATI KEUNTUNGAN BERGANDA.. CARANYA SUNGGUH MUDAH. KAMI AKAN BERIKAN ANDA MESIN UNTUK MENCIPTA WANG DALAM TEMPOH YANG SINGKAT. “

“TETAPI SEBELUM ITU, ANDA DIKEHENDAKI MEMASUKKAN SEJUMLAH WANG KE DALAM AKAUN BERIKUT :

BANKRUP BANK
RM500.00
123-4567-891011

SETELAH MASUKKAN WANG TERSEBUT, HANTARKAN EMAIL KEPADA KAMI DI :

ADMIN@KOKENATIPU.COM

“SETELAH PENGESAHAN DIBUAT, PIHAK KAMI AKAN MENGHANTAR MESIN DUIT TERSEBUT KEPADA ANDA DALAM TEMPOH 24 JAM!! CEPAT, JANGAN BIAR ORANG LAIN DAPATKANNYA SEBELUM ANDA”

Maka, tercenganglah Labu dan Labi setelah membaca risalah tersebut. Malam itu juga mereka buat keputusan untuk mendapatkan ‘mesin’ buat duit tersebut.

Keesokkan harinya, bermodalkan simpanan yang cuma RM500.00 itu, mereka masukkan duit ke dalam akaun yang tertera dan menghantar email kepada admin untuk pengesahan. Lima minit kemudian, email mereka berbalas dan terteralah ayat berikut :

“STATUS PENGESAHAN BAYARAN ANDA TELAH DIBUAT. SILA KLIK PADA LINK BERIKUT UNTUK MENDAPATKAN ‘MESIN BUAT DUIT’.

http://www.kopastiditipu.com/mesinleburduit/0001/######

Labu dan Labi berasa sangat beruntung kerana dalam tempoh 24 jam akan datang mereka akan menjadi individu yang paling kaya di kampung mereka. Mereka segera mendapatkan ‘mesin’ tersebut.

Namun, apa yang mendukacitakan mereka adalah bukan ‘mesin sebenar’ yang mereka dapat. Apa yang mereka dapat adalah PDF tentang cara-cara menjana pendapatan secara online.

Mereka segera meninggalkan premis komputer dengan wajah yang sugul. Modal simpanan untuk menubuhkan sebuah bengkel kereta lebur begitu sahaja.

Pemilih premis menyedari situasi mereka lalu memanggilnya. Berikut adalah nasihat pemilik premis berkenaan :

“HIDUP BUKANLAH SEMUDAH YANG DISANGKA. KITA TIDAK BOLEH BERJAYA DENGAN JALAN YANG SINGKAT. SENTIASALAH BERHATI-HATI DALAM MEMBUAT SEBARANG KEPUTUSAN. BERFIKIR DAN MERANCANG ITU LEBIH BAIK DARIPADA MEMBUAT TANPA BERFIKIR.”

“SEMUA ORANG INGINKAN KEBEBASAN KEWANGAN. NAMUN, TIADA JALAN PINTAS. KITA KENA SENTIASA BERUSAHA BARULAH BOLEH BERJAYA. KEGAGALAN ANDA HARI INI AKAN MENGAJAR ANDA SUPAYA KESILAPAN YANG SAMA TIDAK BERULANG KELAK.”

“TUNTUTLAH ILMU KERANA HANYA DENGAN ILMU, ANDA AKAN MENJADI SEORANG YANG BERJAYA. JANGAN MUDAH PUTUS ASA. TERUSKAN BERUSAHA”.

Sekian.

1 komentar:

Faizal R mengatakan...

sila ambil iktibar haha