aya telah membaca beberapa buah buku yang berkisar berkenaan motivasi diri. Apa yang saya boleh huraikan ialah motivasi sebenarnya suatu bentuk inovasi minda yang memerlukan cetusan bagi membangkitkannya. Manusia dan haiwan mempunyai motivasi asas yang sama. Tetapi, bezanya manusia mempunyai peluang dan kemampuan untuk mengembangkan motivasi asas tersebut untuk mendapatkan faedah maksimum dirinya sebagai insan di dunia. Contoh; Apa yang sama sebenarnya?...manusia - bila perut lapar, tergerak hati untuk mencari makanan, bagaimana mencari makanan? Disalurkan pula ke minda untuk mencetuskan idea atau cara/kaedah untuk mencari makanan. Dan kadang-kadang nafsu pula menjadi perhitungan minda untuk memilih makanan yang bagaimana bagi memenuhi selera pada masa itu. Haiwan – bila lapar, perlu makan. Disebabkan rantaian yang ringkas inilah, haiwan tidak berpeluang untuk mengembangkan potensi mereka.
Saya percaya proses ini tidak selalu difahami oleh kebanyakan orang. Begitu juga dengan saya yang masih mencuba untuk memahaminya. Tidaklah ALLAH ciptakan manusia itu kecuali untuk memperhambakan diri kepada-NYA dan mentadbir dunia. Apa yang penting di antara proses tersebut adalah bagaimana manusia mentadbir dirinya sendiri. Secara peribadi, saya melihat proses ini mudah dan diketahui secara semulajadi. Namun, saya gagal untuk mendapatkan semua kebaikan daripada potensi diri saya sendiri. Dan saya percaya anda semua juga melalui situasi yang sama. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan supaya potensi-potensi yang sentiasa menanti untuk dikembangkan itu tidak dibazirkan begitu sahaja. Suiznya perlu dipetik. Lampu yang berada dalam diri perlu dihidupkan. Samar-samar yang meyelimuti perlu diterangkan.
Sebenarnya, ada juga manusia yang hidup di dunia ini dengan motivasi asas sama seperti binatang yang saya katakan tadi. Sebab itu, saya boleh katakan matlamat mereka hanyalah hidup untuk makan dan motivasinya hanyalah untuk mencari makan. Motivasi asas yang hidup secara semulajadi itu belum cukup untuk menerangkan seluruh alam diri. Ibaratnya ia hanyalah sebiji mentol yang malap cahayanya. Memang boleh digunakan untuk melihat tetapi untuk mencari sebatang jarum yang jatuh ke lantai hampir mustahil. Mengapa tidak hidupkan lampu-lampu yang lain sebab suisnya ada di tangan? Mengapa tidak beri peluang pada diri mencerah sedangkan peluang mencerah itu amat terbuka sekali.
Anda boleh tahu apakah lampu diri anda malap atau terang benderang dengan melihat berapa jenis pekerjaan yang boleh anda lakukan dalam masa serentak. Saya telah mencuba bekerja dua jenis pekerjaan pada masa yang sama (semasa saya mula bekerja di Shah Alam pada tahun 2002), keputusannya ialah saya hanya bertahan selama sebulan. Bukan tidak bermotivasi, tetapi pada masa itu saya tidak mempunyai ketahanan diri, tidak sabar, dan tidak merancang seawalnya. Ini bermakna lampu diri saya tidak menyala pada ketika itu. Sesetengah orang hanya melakukan satu pekerjaan dalam hidupnya, itupun tidak secemerlang mana dan menganggapnya terlalu susah dan akhirnya menbiarkan lampu-lampunya malap atau tidak menyala dan menyangka dia memang tidak berupaya untuk pergi lebih jauh.
Bagi saya, ia merupakan satu pembaziran yang tidak seharusnya. Sesuatu itu memang tidak diketahui wujud atau tidak selagi belum diuji. Ramai orang mengeluh tidak pandai menulis tapi tidak pernah mahu mencubanya. Sebagai contoh, menulis artikel dalam Tsp (The Superb Post) atau Laman Web ini. Ramai yang mengaku bodoh dalam hal-hal kreatif, tapi tidak pernah berusaha untuk memulakannya. Saya percaya ramai orang mengaku tidak pandai sesuatu perkara tetapi tidak pernah mahu belajar atau mengambil peduli tentangnya. Begitu jugalah dengan saya. Saya berharap kita semua sama-sama mempunyai kemahuan untuk mencuba sesuatu yang baru (maksud saya yang baik-baik) dari semasa ke semasa.
Jangan berdolak dalih, cubalah dulu. Cuba dan terus mencuba. Daripada situ ukuran boleh dibuat. Jangan mengagak saja sebab agakan biasanya menyimpang dari hakikat. Tiada sesiapa tahu apa yang akan terjadi sehingga dia mengusahakannya. Saya ambil contoh kisah keluarga saya.
Semasa saya tingkatan 3, ibu saya ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan. Pada masa itu, saya sangat menyokong penuh usahanya. Sayalah orang pertama membantu menyediakan juadah kuih muih untuk dijual pada bulan ramadan. Terlintas pada masa itu juga untuk menjual air tebu dan sambutannya amat diluar dugaan. Saban hari, sepanjang bulan ramadan, saya dan ibu akan berulang-alik dari rumah ke pekan untuk berniaga, menyediakan juadah setiap hari selepas balik dari sekolah. Pada masa itu, saya amat kagum dengan ibu yang sanggup mengorbankan masa rehatnya setelah penat menjadi suri rumahtangga. Hasilnya, pada hari raya tahun itu saya dan adik-beradik yang lain telah mendapat baju dan kasut baru hasil daripada penat lelah ibu berniaga. Bila anda membaca kisah di atas, agaknya watak siapa yang tertinggal. Ya, bapa saya. Dia sangat tidak bersetuju dari mula kami berniaga. Alasannya, malu dengan jiran lain, takut rugi, tiada orang nak beli, sebab dah ramai orang berniaga dan sebagainya. Namun, apabila melihat hasilnya di hari raya tahun itu, dia kagum dan tahun seterusnya dialah orang pertama menyatakan hasrat supaya kita akan berniaga setiap hari bukan sahaja pada bulan ramadan.
Sebenarnya, apa yang saya ingin katakan ialah alasan-alasan yang bapa saya berikan cumalah agakan yang nyata. Oleh itu, marilah mencuba. Seseorang yang tidak pernah cuba berniaga, tidak akan tahu potensi dirinya dalam bidang itu sehinggalah dia benar-benar mencuba dengan memberikan sepenuhi perhatian terhadap usaha-usaha itu. Saya telah bertemu ramai ahli perniagaan yang menyatakan dia tidak pernah terfikir akan menjadi seorang peniaga yang berjaya, semuanya bermula daripada cuba-cuba. Sebaliknya, saya perhatikan ramai ahli akademi yang beku dan statis di tempatnya.
>> Inilah gambar bapa bersama kereta barunya.
Sesungguhnya, motivasi adalah satu anugerah terbesar ALLAH terhadap hamba-hamba-NYA. Memang benar, kemahuan untuk mengubah hidup memotivasi manusia, kemahuan untuk makan, pakaian dan tempat tinggal boleh merangsang manusia berusaha, tetapi itu adalah motivasi primer yang juga dimiliki oleh haiwan. Haiwan termotivasi untuk bergerak demi perutnya yang kosong. Malahan tumbuhan terlindung boleh memotivasi diri untuk tumbuh menyendeng untuk mendapatkan matahari. Siapa yang mengajar ini? Itulah motivasi primer yang memang sedia ada dalam setiap hidupan.
Manusia dibezakan dengan haiwan dan tumbuhan dari sudut ini dengan satu lagi bentuk motivasi dipanggil motivasi skunder. Motivasi ini mampu mempercepatkan langkah yang tadi lemah, lembik dan lembab. Motivasi ini mampu membuatkan seorang wanita tua melompat melepasi longkang besar. Motivasi ini mampu menjadikan manusia itu super. Motivasi ini mampu menjadikan manusia itu melakukan enam pekerjaan serentak. Motivasi ini mampu menahan haus dan lapar. Pada ketika tertentu motivasi ini mampu mencairkan besi, membina aura yang bertindak bagaikan baju besi, mencetuskan arus kecemerlangan alpha (bukan alfa) setiap masa dan banyak sekali.
Saya rasa, seluruh penghidupan kita menggunakan motivasi kedua ini. Apa hendak dihairankan kalau orang rajin berusaha semata-mata untuk perutnya, semata-mata untuk kehidupannya, sebab itu tabii alam. Tapi kita patut berasa hairan mengapa manusia sanggup menggadaikan potensi dirinya dan meletakkan diri setaraf haiwan dan tumbuhan. Fikirkanlah….
0 komentar:
Posting Komentar